ROM - Naib Presiden AC Milan, Adriano Galliani menafikan khabar angin
yang mengaitkan bekas pengendali Barcelona, Pep Guardiola sebagai
jurulatih baharu kelab gergasi itu.
Spekulasi itu semakin hangat diperkatakan apabila Galliani dilaporkan
mahu berkunjung ke New York, Amerika Syarikat dalam masa terdekat.
Ia kerana Guardiola kini berada di Manhattan selepas beliau mengambil
keputusan untuk berehat seketika daripada dunia bola sepak selepas
meninggalkan Barcelona.
Pengganti Guardiola musim ini, Tito Vilanova juga dilihat cukup
cemerlang bersama The Catalan apabila menerajui Liga Sepanyol setakat
ini.
Situasi itu jelas berbeza dengan pengendali Milan, Massimiliano
Allegri yang masih bergelut membantu The Rossoneri mengharungi saingan
Serie A musim ini apabila tewas empat perlawanan termasuk yang terbaharu
di tangan Inter Milan, Ahad lalu.
Disebabkan itu, Guardiola dilaporkan calon terbaik bagi menggantikan Allegri, namun ia segera disangkal Galliani.
"Memang saya akan berkunjung ke New York tetapi ia bukan kerana mahu berjumpa dengan Guardiola.
"Sebaliknya, saya hanya akan pergi ke sana untuk bertemu anak perempuan saya," tegas Galliani.
Pada masa sama, Galliani juga menegaskan bahawa presiden kelab,
Silvio Berlusconi tidak berhasrat untuk menjual kelab itu dalam masa
terdekat.
"Saya optimis Berlusconi tidak akan menjual Milan... tidak buat masa sekarang," tegasnya. - Agensi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment